| Sunday, 21-Aug-2005 12:00 |
|
SESI BERSAMA PENULIS NOVEL MELAYU
|
|
MPH Mid-Valley, Kuala Lumpur, Ahad - Pada petang tersebut saya menghadiri majlis SESI BERSAMA PENULIS NOVEL MELAYU anjuran MPH Mid Valley Kuala Lumpur. Inilah antara majlis yang giat dianjurkan oleh rangkaian kedai buku Melayu yang terbesar dan tercanggih di Malaysia ini. Majlis dihadiri novelis-novelis ALAF 21 yang antaranya ialah Aida Adriani, Anis Ayuni, Damya Hanna, Lily Suriani, serta saya sendiri.
Majlis itu turut dihadiri oleh beberapa orang penulis dari syarikat lain termasuk penulis-penulis buku yang antaranya ialah Azizi Ali yang terkenal dengan buku-buku pengurusan kewangannya, Irfan Khairy, penulis buku mengenai jutawan internet.
Sesi ramah mesra di sebuah kawasan kawasan di gedung itu dihadiri oleh kira-kira 50 orang pendengar selain dari mereka yang singgah sekejap-sekejap bila tertarik perhatian ketika mereka berlegar-legar di kawasan itu. Oleh kerana kehadiran penulis yang agak ramai, kami hanya sempat memperkenalkan diri dan berkongsi pengalaman yang sedikit dengan para hadirin.
Bagi saya, majlis itu ringkas tetapi bermakna kerana saya dapat menemui beberapa orang penulis yang saya ingin temui secara ‘live.’ Saya dapat ilmu dengan memerhati mereka. Antaranya ialah Azizi Ali, seorang penulis yang terkenal dengan buku-buku peng- urusan kewangannya. Beliau adalah seorang good listener. Setiap kali penulis lain memperkenalkan diri, beliau akan tekun mendengar dan memerhati tanpa ber- kelip-kelip meskipun beliau adalah seorang insan yang bistari.
Saya juga menemui Irfan Khairy, penulis buku jutawan internet. Irfan adalah seorang jutawan muda yang kaya melalui perniagaan internet. Jutawan ini tak nampak macam jutawan pun. Sekali pandang macam student universiti yang baru balik dari belajar di overseas.
Selain itu saya temui tauke syarikat PTS Publications, Puan Ainon Muhamad. Kakak yang sehati sejiwa dengan saya untuk memperjuangkan penggalakan pembacaan di Malaysia ini sememangnya aktif dan agresif. Saya suka caranya merenung orang. Matanya bagai mata seorang kanak-kanak cerdik yang punyai minda seperti span ~ boleh faham ilmu dengan cepat.
Well, saya suka majlis seperti itu. Kalau MPH undang lagi, saya akan pergi.
Nota: Bagi yang belum tahu, MPH kini dipunyai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang usahawan Melayu yang pragmatik. Beliau tidak meMelayukan MPH, sebaliknya beliau meMalaysiakannya. Hasilnya, MPH berdiri sama tinggi dengan lain-lain kedai buku antarabangsa di Malaysia yang antaranya ialah Kinokuniya, sebuah rangkaian buku dari Jepun dan Borders, rangkaian kedai buku dari Amerika Syarikat.
|